Thursday, September 25

HARGA MINYAK VS INFLASI

Penurunan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 10 sen yang diumumkan Kerajaan, dilihat tidak mampu membantu menangani inflasi, dan juga meningkatkan kuasa membeli di kalangan pengguna. Para ahli ekonomi dan penganalisis tempatan bersetuju bahawa harga itu sepatutnya diturunkan sekurang-kurangnya 30 sen kerana tindakan itu mampu mengurangkan peningkatan inflasi.
Penurunan harga minyak sebanyak 10 sen tidak banyak membantu kerana jumlah itu adalah terlalu kecil dan tidak menggambarkan kedudukan semasa harga minyak dunia. Rakyat telah menaruh harapan yang tinggi bahawa kerajaan akan menurunkan harganya kepada satu paras 'munasabah', seiring dengan aliran penyusutan harga minyak dunia yang kini berada di sekitar bawah AS$110 (RM374) setong sejak hampir dua bulan. Kerajaan perlu lebih telus dalam mengemukakan mekanisme penurunan harga minyak yang dibuat supaya rakyat faham jumlah harga sebenar minyak, harga pasaran dan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.
Tindakan bijak Kerajaan dalam menguruskan penurunan harga minyak seperti yang disyorkan oleh pakar ekonomi tempatan, dilihat akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada Kerajaan dan jika ini tidak dilakukan, berkemungkinan 'tahap keyakinan' rakyat kepada Kerajaan akan bertambah parah pada masa akan datang!

Sunday, September 21

KRISIS MAKANAN...BERSYUKURKAH KITA?

Renungkanlah:-

Satu (1) Billion rakyat di Dunia sedang menghadapi kelaparan.

Tiga (3) Billion Rakyat tidak cukup makanan.

18,000 kanak-kanak setiap hari mati kerana kekurangan makanan dan vitamin kepada badan.

Adakah kita mahu keadaan ini berlaku kepada kita semua khususnya di Malaysia? Walaupun perkara ini mustahil bagi Malaysia, tetapi kenikmatan dan anugerah yang diberikan Tuhan selama ini haruslah disyukuri dan dijaga dengan baik. Ingatlah, sekali ia bermula, ia tidak akan dapat diselamatkan dalam tempoh yang singkat.

Saturday, September 20

AKTA HUBUNGAN KAUM

Akta Hubungan Kaum yang akan diwujudkan oleh Kerajaan dilihat satu tindakan yang positif ke arah mengukuhkan hubungan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Akta ini juga perlu dilaksanakan dengan segera bagi memastikan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman dan rakyat pelbagai kaum dapat hidup dengan harmoni. Pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, sebarang usaha Kerajaan untuk merapatkan perpaduan dan kesepakatan antara kaum di negara ini pasti akan disambut baik oleh rakyat. Menurutnya, sejarah negara sebelum ini telah mencatatkan beberapa peristiwa huru-hara yang melibatkan kaum dan penubuhan akta itu dapat mengawal penduduk di negara ini agar tidak terlalu liar. ''Langkah tersebut menunjukkan kerajaan bertindak tegas untuk melarang mana-mana pihak daripada membuat kenyataan tidak berguna dan hanya menyakitkan hati orang lain sahaja," ujarnya.

Selain itu, dewasa ini banyak terdapat isu-isu yang melibatkan perselisihan pendapat dan kenyataan-kenyataan yang memberi kesan negatif kepada hubungan baik di antara kaum di Malaysia. Jika isu-isu ini berterusan, dikhuatiri ia akan menimbulkan ketegangan dan ketidakpercayaan sesama kaum yang tidak akan berkesudahan. Akhir sekali slogan 'Malaysia Truly Asia' akan dipertikai oleh pelancong asing kerana ia tidak menggambarkan keharmornian kaum di Malaysia.

Friday, September 19

BURSA SAHAM MENJUNAM?

Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah meneruskan penurunan tiga hari berturut-turut berikutan aktiviti jualan dalam saham wajaran berat diterajui Maybank dan Bumiputra-Commerce, kata para peniaga. Maybank turun 50 sen untuk ditutup kepada RM6.90 manakala Bumiputra-Commerce susut 45 sen kepada RM7.40. Dalam dagangan kecil, Indeks Komposit Kuala Lumpur turun 0.93 peratus atau 9.38 mata kepada 1,002.99, tinggi sedikit daripada paras terendah harian pada 1,000.41. Ia dibuka 0.16 mata lebih rendah kepada 1,012.21 pagi kelmarin. Ini merupakan fenomena pertama sejak sedekat lalu penurunan pada paras bawah 1,000.00 walaupun kemerosotan ini turut dirasai oleh Index Dow Jones dan Nekkei. Persoalannya, adakah ini berpunca dari ketidakstabilan politik di Malaysia dan pertukaran Menteri Kewangan yang baru?

Wednesday, September 17

ISA...KENAPA PERLU DIHAPUSKAN?


Dewasa ini Malaysia telah diharu-birukan dengan pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti kaum malah terdapat juga isu yang boleh menggugat keselamatan dan keutuhan Malaysia itu sendiri. Dari isu Hindraf kepada isu Lagu NegaraKuKu dan terus ke isu Teresa Kok dan terbaru isu Datuk Ahmad Ismail, semua ini merupakan satu virus perkauman yang sedang menular dan dilihat akan meruntun semangat perpaduan kaum di negara ini. Tetapi antara semua isu ini, sejauh mana seriusnya isu yang membabitkan kenyataan DS Anwar Ibrahim yang mendakwa akan menubuhkan Kerajaan Baru menjelang tanggal 16hb September 2008 (Selasa)? Tidakkah ia melibatkan isu yang sama besar dan mungkin lebih besar dari isu perkauman di negara ini? Rakyat mula gelisah!, rakyat juga tertanya-tanya apakah dakwaan ini benar atau tidak!, semangat mereka untuk terus menyokong kerajaan yang ada juga mungkin tergugat!, dan yang paling penting isu ini boleh memberi kesan kepada kebolehpercayaan negara luar terhadap keupayaan Perdana Menteri mentadbir negara....jadi, sebagai rakyat Malaysia, adakah anda mahukan sentimen ini terus menular di segenap lapisan masyarakat?.....hinggakan dan berkemungkinan ia akan menjadi tragedi seperti mana di Thailand dan Indonesia......Jadi, untuk menghindari keadaan ini dari terus menular, RASIONALKAH I.S.A memainkan peranan sebagai satu kaedah sekatan? jika tidak rasional, kenapakah I.S.A sendiri mula dipraktikkan di Amerika Syarikat selepas tregedi 11hb September 2001 dan di Singapura sendiri mengamalkan akta yang sama?.......

Tuesday, September 16

SANGLANG OH SANGLANG!


PERLIS (15 DUN) = PAS 2: BN 13

(PADANG BESAR = PAS 0: BN 5, KANGAR = PAS 0: BN 5, ARAU = PAS 2: BN: 3)


Akhirnya DUN Sanglang N15 telah sah menjadi milik mutlak PAS. Hashim Jasin dinobatkan sebagai ADUN dan melengkapkan penguasaan PAS ke atas dua (2) DUN dari lima belas (15) DUN di Negeri Perlis. Selain itu, kemenangan ini juga memberi impak negetif ke atas kekuatan politik Ketua Bahagian Arau iaitu YB Dato Seri Shahidan Kassim di Arau sendiri, di mana kedua-dua DUN iaitu DUN Simpang Empat (N14) dan Sanglang (N15) yang jatuh ke tangan PAS pada PRU 12 lepas, adalah terletak di bawah Bahagian Arau. Apa-apa pun keputusan Mahkamah ini telah memberi pengajaran kepada Barisan Nasional (BN) bahawa pihak pembangkang di negara ini tidak mudah untuk diperkecilkan kebolehan mereka dari aspek perundangan. Walau bagaimanapun inilah amalan demokrasi sebenar yang diamalkan di Malaysia.

Thursday, September 11

KENAPA SUKAR UNTUK MEMOHON MAAF?

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, digantung haknya dalam parti selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta ekoran tindakan dan kenyataannya yang menyentuh sensitiviti kaum hingga mencetuskan kemarahan parti komponen Barisan Nasional (BN). Dengan keputusan itu yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengikut Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO pada mesyuarat khasnya, semua jawatan yang dipegang Ahmad dalam parti akan digugurkan, tetapi keahliannya dalam UMNO masih kekal.
Persoalannya kenapa Datuk Ahmad Ismail amat sukar untuk memohon maaf?

TENGKU ABDULLAH MAHU UMNO KUKUH INSTITUSI RAJA SEBAGAI PELINDUNG MELAYU

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu UMNO melakukan usaha mengukuhkan institusi Raja-Raja Melayu bagi menguatkan lagi peranannya sebagai pelindung rakyat khususnya orang Melayu serta agama Islam. Menurut Tengku Abdullah: “Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak,” titah baginda dalam satu wawancara eksklusif dengan Khabar Pahang, akhbar rasmi Kerajaan Negeri Pahang. Tengku Abdullah bertitah imuniti Raja-Raja, yang suatu ketika dulu telah dihapuskan secara tidak langsung, telah meletakkan institusi berkenaan berada dalam keadaan seolah-olah tidak kukuh dan mungkin menjadi tidak relevan.

Wednesday, September 10

DR. M SERTAI UMNO SEMULA?


Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dr. Mahathir menyampaikan hasrat itu kepada beliau semasa dalam satu pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri itu Sabtu lepas. Tindakan ini mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO. Adakah tindakan Tun Dr. Mahathir ini dilihat sebagai satu usaha untuk menyatukan orang-orang Melayu khususnya dalam UMNO? Sedangkan sebelum ini, Tun Dr. Mahathir berikrar tidak akan masuk UMNO kembali jika Pak Lah masih menjadi Presiden UMNO?

Sunday, September 7

DIMANAKAH NILAI KEMANUSIAAN?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di sini dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang. Menurutnya, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.
Renungan: Apakah peranan wakil rakyat yang sebenarnya?

Friday, September 5

DR. MAHATHIR PERSOAL KENAPA MELAYU SAHAJA PERLU MINTA MAAF


PUTRAJAYA 4 Sept - Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa orang Melayu sering dituntut memohon maaf sekiranya mengeluarkan perkataan dan catitan yang boleh ditafsirkan sebagai perkauman. Bekas Perdana Menteri berkata, sebaliknya apabila orang bukan Melayu mengeluarkan perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menuntut pihak tersebut memohon maaf. Beliau memberi contoh memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri United Kingdom yang bukan sahaja penuh dengan unsur-unsur perkauman tetapi juga bersifat hasutan.

''Seorang penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta. ''Apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali. (Sumber: Utusan Malaysia)
Apa pandangan anda?

Wednesday, September 3

ADAKAH LETAK JAWATAN SATU PENYELESAIAN?

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melalui Salahuddin Haji Ayub (gambar) tertarik dengan tindakan Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda yang meletakkan jawatan kelmarin setelah gagal mewujudkan kestabilan politik kepada rakyat negara itu. Fukuda menyifatkan tidakannya itu adalah demi kepentingan rakyat Jepun setelah gagal melaksanakan beberapa dasar negara kerana Dewan Rendahnya dikuasai pembangkang. DPP Pusat melihat tindakan Fukuda ini bukan sahaja matang, bahkan lebih demokratik setelah menyedari kerajaan pimpinannya gagal mendapat kepercayaan dewan perundangan. DPP Pusat mendesak Abdullah Badawi supaya mencontohi keterbukaan pemimpin Jepun itu.
Renungan: Adakah dengan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia oleh Pak Lah, semua masalah seperti harga minyak, harga barang, inflasi dan sebagainya akan selesai? Adakah politik di Jepun sama dengan keadaan politik di Malaysia?

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN....

UMNO memohon maaf atas kenyataan berbau perkauman yang dibuat oleh Ketua Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bulan lepas. Permohonan maaf itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden UMNO dengan menegaskan, parti amat sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan tersebut dan tindakan terhadap Ahmad akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu akan datang. ‘‘UMNO memohon maaf atas kenyataan tersebut dan menegaskan ia merupakan kenyataan peribadi beliau dan bukan pendirian UMNO ataupun kerajaan.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, tindakkan ini (memohon maaf) adalah wajar. Tetapi ia juga perlulah diikuti oleh semua parti politik yang ada di Malaysia dan sentimen perkauman tidak seharusnya dimainkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.